Selasa, Disember 09, 2008

Kita masih terlena dan leka akan hukuman alam

Situasi 1 - Runtuhan lereng / cerun

Mengapa kita masih belum belajar dari tragedi yang pernah berlaku 15 tahun lalu pada kondominium Highland Tower? Kini ia terjadi lagi di Bukit Antarabangsa seawal 3.45 - 4 pagi 6/12/08 yang lalu. Mengapa kita seolah-olah tidak mengerti atau sengaja tidak mahu mengerti atau memang tak reti bahasa untuk menjaga alam sekitar atau lebih tepat lagi mengelak pembangunan di tanah tinggi atau pembangunan di cerun? Siapa yang bersalah? Pemaju, penguatkuasaan? kerajaan atau siapa lagi yang hendak dipersalahkan?

Apabila sesuatu musibah seperti ini terjadi, masing masing akan menyanyi lagu 'Bangau oh Bangau'. Pak-pak menteri memberi arahan agar dihentikan segala projek di kawasan tanah tinggi. Tidak kurang juga kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, turut senada sengan pak-pak menteri ini. Pendek kata semua pihak yang berkaitan turut mengeluarkan arahan yang sama. Pihak media pula berlumba-lumba memberikan liputan. Pakar-pakar alam sekitar dan yang sewaktu dengannya juga masing-masing berlumba-lumba memberikan pendapat mereka (bukan pendapat mereka tidak pernah disuarakan sebelum ini, tetapi ia seolah-olah dipandang sepi).

TETAPI, sebagai rakyat yang kerdil, saya merasakan seolah-olah menonton siaran ulangan pada episod yang telah terjadi. KASIHAN dan SIMPATI dengan mangsa tragedi. MUAK, SAKIT MATA dan TELINGA melihat dan mendengar pelbagai saranan, larangan, nasihat dan yang seumpama dengannya. Bukan tujuan saya untuk menidakkan semua ini, tetapi ia seolah-olah perkara sama yang diulang-ulang yang entah yang keberapa kali.

Penguatkuasaan lemah. Pemantauan juga lemah. Tindakan undang-undang..... ahh.... mimpilah, lansung tidak boleh diharapkan. Mungkin cacing telah naik ke mata (istilah bagi orang yang mementingkan untung dan wang sahaja). Inilah sebab yang utama sekali.

PEMAJU - hanya nak untung sahaja. Rakus meratah setiap inci hutan dan kawasan tadahan. (memang untung berlipat kali ganda kerana kebanyakkan pembeli perumahan di kawasan tanah tinggi adalah terdiri daripada mereka dari golongan yang kaya raya)

PIHAK BERKUASA TEMPATAN - Tidak pula diketahui apa yang golongan ini lakukan. Agaknya tengok je kot? Pejamkan mata sahaja (janji poket penuh, betul ke?) Pekakkan telinga (tak
mahu mendengar dan menerima pandangan dari orang ramai)

Kalau nak disenaraikan di sini banyak lagi pihak-pihak yang terlibat. Letih dan malas rasanya nak melayan, tetapi apa nak buat benda terjadi di depan mata. Nak atau tidak, walau macam mana sekalipun kita seolah-olah terbabit sama. Mungkin selagi isu ini masih panas pembangunan di tanah tinggi akan dihentikan seketika, tepai bila isu ini sudah sejuk, aktiviti ini akan rancak dilakukan semula.

Ketika itu, semua suara yang melaungkan larangan, penguatkuasaan dan yang sewaktu dengannya turut diam, seolah-olah melupakan terus kejadian ini. Tindakkan susulan.... jangan le ada yang mengharapkan ia akan berlaku. Tunggulah kucing bertanduk. Tak tahu di mana silapnya.




Situasi 2 - Pembangunan di atas tubus guna tasik & bekas lombong

Saya rasa banyak tempat yang melakukan aktiviti ini. Saya tak mahu pergi jauh untuk memperkatakan isu ini. Tak perlulah mencari aktiviti yang dilakukan kuman di seberang laut, sedangkan aktiviti gajah di depan mata telah terpampang dan terang sekali. Biarlah saya mengulas apa yang nampak di kawasan Puchong sahaja, kerana ini lebih releven kerana saya adalah penduduk Puchong.

Saya dapati pembangunan tebusguna tasik dan kawasan bekas lombong dilakukan dengan pesatnya di Puchong. Umum tahu, kawasan Puchong memang banyak dengan bekas lombong. Sehingga kini masih nampak dengan jelas tasik yang terbentuk daripada aktiviti perlombongan yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.

Apa yang menjadi persoalan sekarang, kawasan tasik ini banyak yang telah ditebus guna untuk dibangunkan kawasan perumahan, bangunan pejabat dan pusat perniagaan, komplek membeli belah dan seumpamanya. Persoalannya, selamatkan kawasan ini? Saya tahu semua projek yang dibangunkan ini telah dikaji kesesuaiannya terlebih dahulu, tetapi yang saya musykilkan ialah setakat mana atau berapa lama kawasan ini dapat bertahan? Mendapan, rekahan bangunan dan yang seumpanya? Dapatkah hal ini dielakkan?

Pemaju - macam biasalah akan memberi jaminan dan bermanis mulut akan ketahanan betapa sesuainya kawasan yang dimajukan ini. Hujah yang diberikan dan disertakan dengan surat sokongan dari pihak-pihak dan agensi-agensi yang berkaitan dan harga yang kompetitif yang ditawarkan kepada pembeli, melenyapkan prasangka dan keraguan bakal pembeli.

Dalam hal ini bakal pembeli harus bijak untuk membuat penilaian sendiri. Mungkin pemaju akan mengatakan seseorang pembeli itu 'bodoh' kerana membuat penilaian yang didak dijangka pemaju. Biarlah dikatakan begitu, asalkan hak kita sebagai pembeli / pengguna terbela.


Kesimpulan untuk kedua-dua situasi di atas : JANGANLAH KITA MENJADI MANGSA DIATAS 'KEMARAHAN' DAN 'HUKUMAH' ALAM KEPADA KITA. ALAM TIDAK PANDAI MENIPU DAN MENDUSTAI KITA. HANYA KITA YANG PANDAI MEMUSNAHKAN DAN MELUPAI JASA ALAM KEPADA KITA... RENUNGKANLAH.

Tiada ulasan: